mutakhir

PM ziarah pusara ayahanda, bonda [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menziarahi pusara ayahanda, bonda dan keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1 di Muar, hari ini.

Muhyiddin tiba bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman kira-kira jam 12.20 tengah hari sebelum menuju pusara ayahanda, Muhammad Yassin Muhammad dan bondanya, Khadijah Kassim.

Beliau dilihat menjirus air mawar di kedua pusara sebelum membacakan doa kepada keduanya dan ahli keluarga yang meninggal dunia.

Muhyiddin dan Noorainee kemudian menghadiri majlis tahlil dan bacaan yassin di wakaf tanah perkuburan berkenaan.

Semalam, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan di Istana Negara sebelum dilaporkan memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada jam 7.55 pagi tadi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Sabtu lalu berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 1:39pm
    d