mutakhir

327 majikan didakwa

Oleh Omar Ahmad

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor mengeluarkan sebanyak 431 kompaun dan mendakwa 327 majikan sepanjang tahun lalu.

Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, pendakwaan terhadap majikan itu dibuat selepas mereka gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Menurutnya, sepanjang Januari juga, Perkeso negeri ini sudah mengeluarkan 20 kompaun dan mengambil tindakan pendakwaan keatas 34 majikan ingkar.

“Antara kesalahan majikan ini gagal daftar perusahaan, gagal daftar pekerja dan lewat melaporkan kemalangan pekerja mereka.

“Sepanjang tahun 2019, seramai 89,349 majikan yang aktif mencarum kepada Perkeso Johor namun masih ramai yang gagal patuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,” katanya.

Tong berkata, adalah penting untuk setiap majikan mendaftar dan mencarum pekerja, sekiranya gagal ia akan menjejaskan tuntutan faedah pekerja kepada Perkeso khasnya dibawah skim pencen ilat

“Malah pada tahun lalu, Perkeso sudah membayar pampasan faedah sebanyak RM100.5 juta yang membabitkan 31,512 kes tuntutan faedah“,katanya pada Sidang media selepas melancaran Ops Kesan Peringkat Negeri Johor, di Wisma Perkeso, di sini.

Jelas Tong, Ops kesan ini memberi tumpuan kepada Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. .

“Kompaun akan dikeluarkan kepada majikan yang gagal mematuhi dua akta ini. Amaun kompaun adalah bergantung kepada tempoh kelewatan majikan mendaftar dan mencarum untuk pekerjanya.

“Contoh kalau majikan lewat mendaftar perusahaan kurang setahun adalah RM500. Manakala jika lebih lima tahun adalah RM4,000,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 3:33pm
d