mutakhir

Bersatu dijangka kuasai kabinet baharu

Oleh Suraya Roslan

AHLI Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menguasai barisan kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai parti pemerintah.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kabinet itu akan disertai semua parti di bawah Perikatan Nasional iaitu Bersatu, UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Walaupun Bersatu mempunyai sedikit kerusi iaitu 36 berbanding Barisan Nasional 42, tetapi sebagai parti pemerintah sudah pastinya jumlah kerusi mereka lebih besar untuk menghuni barisan kabinet.

“Ini kerana lebih banyak ahli kabinet akan mengukuhkan parti berkenaan sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan membina kekuatan sokongan,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Awang Azman berkata, dia menjangkakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) terdiri ahli parlimen UMNO, PAS atau GPS.

“UMNO adalah rakan kongsi paling rapat dengan Muhyiddin ketika ini dan berkemungkinan juga negara akan mempunyai dua TPM, apa pun semuanya atas kebijaksanaan Muhyiddin menentukannya.

“PAS dan GPS yang mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 18 akan turut mendapat tempat dalam barisan kabinet Muhyiddin,” katanya.

Menurutnya, selain itu, dia menjangkakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin ditawarkan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

“Saya juga berpendapat Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan ditawarkan jawatan dalam kabinet tetapi bergantung kepada beliau untuk terima atau tidak berikutan ada prinsip tersendiri.

“Saya yakin ada tawaran berkenaan bagi mengurangkan ketegangan antara Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Bersatu. Dengan cara itu, Mahathir akan bertolak ansur dan mengurangkan campur tangan terhadap pemerintahan yang baru,” katanya.

Dr Awang Azman berkata, dia beranggapan jawatan Pengerusi Tabung Haji terdiri daripada pemimpin PAS yang bersesuaian untuk menjaga institusi Islam.

“Begitu juga dengan pelantikan di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut menyaksikan perubahan dan akan dinilai semula oleh Muhyiddin bersesuaian dengan kerajaan baharu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 5:15pm
    d