mutakhir

Gagal curi besi

Oleh Nurul Amanina Suhaini

DUA lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan selepas gagal mencuri 39.6 tan besi bernilai RM82,800 di sebuah kilang kitar semula di Jalan Seelong, Senai di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 30 dan 55 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Tun Aminah dan Pasir Gudang di sini, kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati pihaknya dimaklumkan seorang pemandu treler berusia 28 tahun mengambil muatan besi bunga bersaiz lapan milimeter itu dari sebuah syarikat di Semenyih, Selangor untuk dihantar ke kilang kitar semula besi di Jalan Seelong itu.

“Apabila sampai di kilang berkenaan kira-kira jam 8 pagi, Selasa lalu, mangsa didakwa ditahan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pengawal keselamatan kilang itu dan meminta untuk bercakap menerusi panggilan telefon dengan seorang lelaki dikenali sebagai Mr Wong.

“Mangsa diarahkan oleh Mr Wong untuk membawa muatan besi bunga ke kawasan Desa Idaman Seelong, Senai dan mendapati ada dua lelaki lain menunggunya di lokasi.

“Mangsa mendakwa diminta untuk menyerahkan treler yang dipandu itu kepada dua lelaki terbabit dengan alasan dia tidak memiliki pas masuk ke kilang dan diarahkan menunggu di gerai berhampiran,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, bagaimanapun pengadu mendapati semua muatan besi sudah dikeluarkan kira-kira dua jam kemudian.

Katanya, pengadu mendakwa hanya menyedari dia diperdaya suspek apabila pihak kilang memaklumkan besi yang ditempah masih belum diterima kilang itu.

Katanya, bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek yang dipercayai dalang kes terbabit ditahan, selain pihaknya merampas termasuk dua telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta jenis Proton Wira dan besi bunga seberat 39.6 tan.

“Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman mengikut 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula 27 Februari lalu hingga 4 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 5:46pm
d