mutakhir

MPS serbu rumah urut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA rumah urut tidak berlesen di Prima Gombak diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad berkata, operasi itu dilakukan ketika anggota sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan pada 3 petang.

“Dalam operasi ini, anggota penguat kuasa mengambil tindakan menyita 15 tilam, tujuh bantal, enam minyak urut, lima sofa, satu penghawa dingin, televisyen dan pelbagai peralatan lain.

“Tindakan sitaan dibuat selaras dengan Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Kesihatan (MPS) 2007 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi berasingan, MPS turut menyita barangan jualan penjaja yang menjalankan perniagaan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan MRR2, Gombak pada hari yang sama.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan diambil kerana kawasan itu adalah lokasi larangan berniaga kerana membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, menimbulkan kesesakan serta menimbulkan imej buruk.

“Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa menyita tiga khemah, dua meja lipat, dua papan meja, satu tong gas, satu kerusi dan peralatan lain membabitkan tiga penjaja.

“Tindakan sitaan itu dibuat selaras dengan Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 kerana berniaga tanpa lesen penjaja dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan halangan tred,” katanya.

Menurutnya, MPS akan melakukan pemantauan berterusan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada semua penjaja yang tidak mempunyai lesen dan menyebabkan kesesakan lalu lintas serta mengundang bahaya kepada orang awam.

“Malah, operasi yang dilakukan adalah peringatan dan amaran kepada semua pemilik premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 6:05pm
d