mutakhir

Jemaah umrah terkandas penerbangan dibatalkan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BEBERAPA kumpulan jemaah umrah Malaysia di Madinah yang dijadualkan pulang ke tanah air malam tadi terpaksa menangguhkan hasrat mereka apabila penerbangan dibatalkan.

Seorang jemaah umrah terbabit, Mohd Nasir Deraman, 45, berkata, dia bersama beberapa jemaah lain sepatutnya pulang ke tanah air tetapi penerbangan mereka dibatalkan.

“Kami ditempatkan di sebuah hotel di Madinah dan dijangka menaiki penerbangan pulang semula ke tanah air esok.

“Saya tidak pasti kenapa tetapi mengikut maklumat ia adalah bertujuan untuk menyelaraskan jadual perjalanan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Nasir berkata, keadaan di Madinah adalah seperti biasa, dia dan jemaah umrah yang lain boleh melakukan aktiviti ziarah.

“Saya bernasib baik kerana ketika tiba di sini, saya terlebih dahulu ke Makkah untuk melakukan rukun umrah sebelum ke Madinah,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines Berhad (MAB) sedang berusaha menyelaraskan jadual penerbangan dua kali sehari di antara Kuala Lumpur-Jeddah atau Madinah.

MAB menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya akan menyediakan 10 penerbangan dalam tempoh 10 hari akan datang untuk membawa pulang penumpang yang berada di Arab Saudi.

“Keutamaan kami pada masa ini adalah untuk membawa pulang jemaah yang berada di Arab Saudi ke destinasi asal masing-masing.

“Disebabkan itu ada sekumpulan penumpang perlu berlepas dari bandar yang berbeza atau mungkin mengalami kelewatan perjalanan.

“Pihak kami akan menyediakan penginapan hotel, makanan dan khidmat pengangkutan antara Jeddah dan Madinah (atau sebaliknya) untuk jemaah umrah,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 6:14pm
d