mutakhir

Sindiket seludup 463 burung murai tumpas

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SINDIKET penyeludupan 463 burung murai batu dan kampung tumpas selepas polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an ketika serbuan di sebuah kawasan di Kulai, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata pihak polis berjaya menahan dua lelaki itu pada 11.45 malam tadi.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kulai menahan sebuah kereta jenis Toyota Wish sebelum merampas burung murai bagi tujuan diseludup dipercayai ke Indonesia.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan harga jualan bagi burung murai batu dianggarkan bernilai RM500 hingga RM1,000 manakala murai kampung pula bernilai antara RM100 hingga RM200.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1a) Akta Pemuliharaan Kehidupan Liar 2010 dan 39 (b) Akta Imigresen 1963 yang boleh didenda RM50,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 7:15pm
d