mutakhir

GPS tidak ghairah jawatan Kabinet

Oleh Mohd Roji Kawi

TIADA sebarang perbincangan diadakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengenai jawatan dalam Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini GPS hanya mahu memberi tumpuan kepada kepentingan negara, khususnya untuk memastikan politik negara kembali stabil dan kepentingan Sarawak diutamakan.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pimpinan tertinggi GPS bersama semua Ahli Parlimen GPS di Kuala Lumpur malam semalam.

“Pada mesyuarat itu, mandat penuh diberikan kepada Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg (Pengerusi GPS dan Ketua Menteri) untuk memutuskan sama ada kita akan bersama dalam Kerajaan Persekutuan mengambil jawatan kabinet atau tidak.

“Kami juga mencapai keputusan, GPS tidak akan bergabung di dalam Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional, sebaliknya GPS akan terus bergerak sebagai sebuah entiti politik tempatan Sarawak yang tidak terikat dengan mana-mana gabungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, dakwaan DAP dan PKR yang cuba menakut-nakutkan rakyat Sarawak kononnya keputusan dibuat GPS menunjukkan gabungan itu menyokong UMNO dan PAS adalah tidak berasas sama sekali.

Bekas Menteri Kerja Raya itu menegaskan, GPS diminta memilih calon Perdana Menteri, bukannya memilih untuk menyertai mana-mana gabungan di peringkat Persekutuan.

“Mungkin DAP dan PKR lupa, merekalah yang pernah lama bekerjasama dan bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, sedangkan GPS pula tetap sebuah entiti politik di Sarawak yang tidak menyertai mana-mana gabungan pun.

“Malah kemelut politik negara juga dimulakan oleh DAP dan PKR. Jika mereka konsisten menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin kemelut ini boleh diselesaikan lebih awal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata GPS memutuskan untuk membantu menyelesaikan kemelut politik demi kepentingan negara dan kestabilan politik.

“Dengan pelantikan Perdana Menteri kelapan juga, kerajaan kini boleh menumpukan perhatian kepada usaha memulihkan ekonomi dan kewangan negara, menangani masalah bebanan hidup rakyat, serta menarik kembali keyakinan pelabur ke negara ini.

“GPS juga kini boleh meneruskan rundingan dalam menuntut hak dan kepentingan Sarawak dan berharap usaha ke arah itu dapat dipercepatkan melalui kerajaan baharu,” katanya sambil mengakui itu antara syarat utama yang GPS tetapkan kepada Muhyiddin untuk mendapatkan sokongan gabungan empat parti Sarawak itu.

“GPS tidak akan berkompromi dalam hal ini (tuntutan hak dan kepentingan Sarawak),” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 8:29pm
d