mutakhir

Yakin ahli Parlimen PH akan sokong - Shahidan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yakin ada ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) yang bakal menyokong kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.

Shahidan berkata, beliau yakin kesemua ahli parlimen terbabit akan turut sama membantu Muhyiddin membaiki ‘kerosakan’ yang sedang berlaku di dalam negara ketika ini.

“Saya berharap kawan-kawan di sebelah sana akan menyokong Perikatan Nasional kerana kerajaan baru sekarang ini sedang berusaha untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku.

“Api perkauman meningkat, buruk sangka sesama sendiri, harga barang meningkat, ekonomi merudum dan kita harap mereka bersama dengan Perikatan Nasional untuk memulihkan negara.

“Berdasarkan situasi semasa yang berlaku dari semasa ke semasa, memang ada mereka yang nak bersama dengan Perikatan Nasional dan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah berlaku, di Parlimen saya yakin ada tak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Pauh Utara di Padang Besar, semalam.

Mengulas mengenai dakwaan ahli parlimen PH yang mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, Shahidan menegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Tidak benar (sokongan majoriti), jika mereka ada sokongan majoriti mustahil perdana menteri baharu dilantik baru-baru ini.

“Sudah mesti Yang di-Pertuan Agong mempunyai pertimbangan yang wajar mengenai dakwaan itu... jumlahnya tak mungkin 114 dan saya tak mahu kata apa-apa sebab ini lebih kepada strategi politik,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai saranan agar ada ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang dilantik ke barisan Kabinet, Shahidan berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Muhyiddin.

“Kami (ahli parlimen BN) menyokong Muhyiddin dan tak mahu minta apa-apa dan kini fokus untuk membina semula negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 9:02am
    d