mutakhir

Kantoi curi kabel elektrik

Oleh Hamzah Osman / 03mac20

DUA sahabat ditahan ketika membawa kabel elektrik dalam raga motosikal disyaki dicuri di Jalan Ulu Melaka di Langkawi, kelmarin.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, lelaki berusia 26 dan 35 tahun itu ditahan polis selepas mereka dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, anggotanya yang dalam tugas rondaan cegah jenayah curiga melihat gelagat dua lelaki itu ketika menunggang motosikal.

“Polis menahan penunggang dan pembonceng motosikal untuk membuat pemeriksaan sebelum menemui segulung kabel elektrik bertulis TNB seberat 17 kilogram atas raga motosikal.

“Turut ditemui masing-masing sebilah parang dan gergaji tangan di dalam bakul motosikal itu yang dipercayai digunakan ketika mencuri kabel elektrik berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek turut memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pecah rumah.

“Mereka ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 2:20pm
d