mutakhir

Warga Filipina seludup Pati

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

DUA lelaki warga Filipina ditahan ketika cuba menyeludup masuk 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara itu di perairan Kampung Tanjung Aru, Sandakan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, suspek dalang penyeludupan Pati berusia 21 dan 51 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah selepas mengesan dua bot yang mencurigakan di perairan itu.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, turut ditahan

12 Pati warga Filipina berusia tujuh hingga 60 tahun.

Menurutnya, hasil risikan pihaknya berjaya mengesan kehadiran sebuah bot jongkong dan bot laju di perairan itu dan berjaya menahannya untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati bot itu dipandu dua lelaki warga Filipina dan membawa 12 penumpang yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua suspek kemudiannya dibawa ke Markas PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan lanjut mendapati penumpang membayar kira-kira RM78 (9500 Peso) seorang kepada juragan sebagai tambang untuk masuk ke Sandakan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan seludup migran.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau keduanya,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 3:26pm
d