mutakhir

Duka hilang sahabat karib [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

TEMUJANJI dua sahabat karib untuk bermain badminton bersama tidak kesampaian selepas seorang daripada mereka meninggal dunia dalam kemalangan.

Mohamad Shakir Izham Abdul Ghani Zukri, 19, maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya, Mohamad Aiman Ramli, 19, terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Pasar Tasek Raja, Pasir Mas kira-kira 10.30 malam tadi.

Dalam kemalangan itu, Mohamad Aiman cedera dan dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk rawatan.

Sahabat karib Mohamad Shakir Izham, Mohamad Akmal Asri, 19, berkata, mereka sepatutnya bermain badminton pada malam kejadian namun, berita duka yang diterimanya.

“Saya segera ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan kemalangan itu dan sayu melihat tubuh Shakir terbaring tidak bernyawa.

“Kami sudah berkawan rapat sejak di bangku sekolah lagi ketika sama-sama di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai sebelum menuntut di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas.

“Sebelum kejadian itu, arwah ada beritahu mahu ke bank di bandar Pasir Mas. Dia pun sudah janji untuk bermain badminton pada malam,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Akmal berkata, arwah Mohamad Shakir Izham seorang yang baik, bijak serta suka membantu dan dia tentu akan merindui sahabatnya itu.

“Motosikal yang ditunggang itu pun baru dibeli lebih sebulan lalu. Kami berpakat beli model yang sama iaitu Honda RS150,” katanya yang memberitahu arwah berasal dari Bachok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari Rantau Panjang ke Pasir Mas, hilang kawalan dan merempuh pacuan empat roda yang membuat pusingan U di kawasan itu.

Katanya pemandu warga Thailand itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 3:57pm
d