mutakhir

Padah simpan rokok seludup

Oleh Juwan Riduan

TINDAKAN seorang lelaki yang menjadikan rumahnya di Kampung Bambangan, Papar di sini sebagai tempat menyimpan rokok seludup membawa padah apabila diserbu polis, Ahad lalu.

Serbuan dijalankan oleh anggota polis dari Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menjalankan serbuan ke atas rumah disyaki tempat menyimpan rokok belum lulus cukai.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu merampas sejumlah rokok pelbagai jenama yang belum lulus cukai.

“Semua rokok pelbagai jenama itu dianggarkan bernilai RM18,000,” katanya dalam sidang media di IPD Papar, di sini, hari ini.

Batholomew berkata, susulan rampasan itu, polis menahan seorang lelaki tempat berusia 20-an.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 4:16pm
d