mutakhir

Tangan ibu ada di syurga

Oleh Ahmad Ismail

“TANGAN ibu Allah simpan di syurga,” kata Siti Zaemah Dulah, 32, yang kudung kedua belah tangannya sejak dilahirkan setiap kali menjawab pertanyaan anak tunggalnya yang berusia enam tahun.

Katanya, anaknya, Siti Nur Rasyidah Rosdi, sering bertanyakan mengenai keadaan kedua-dua tangannya yang kudung dari paras siku itu.

“Setiap kali dia bertanyakan soalan sama, saya jawab suatu hari nanti Allah akan kembalikan tangan ibu dan menasihatkan dia tidak perlu sedih jika ada yang mengejek keadaan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Muar, Johor.

Berstatus orang kurang upaya (OKU), Siti Zaemah berkata dia menjalani kehidupan seharian serta tugas sebagai suri rumah tanpa masalah.

“Dengan keadaan tangan seperti ini saya masih mampu memasak, mengemas rumah, mengajar anak melukis dan menulis menggunakan jari kaki kiri serta menjahit.

“Bahkan saya turut bercita-cita mengambil ujian lesen memandu kenderaan OKU satu masa nanti,” katanya mempunyai sijil animasi Kolej Komuniti Segamat.

Menurut Siti Zaemah, dia juga bersyukur kerana bertemu jodoh dengan suaminya, Rasidi Rosli, 44, dan mempunyai seorang cahaya mata.

Siti Zaemah berkata, dia dan suami masing-masing menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Katanya, suaminya juga berstatus OKU sejak dua tahun lalu selepas mengalami kecacatan kaki kanan akibat terbabit kemalangan jalan raya pada 2009.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 5:37pm
d