mutakhir

Usaha lestari alam sekitar

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PEMBANGUNAN fizikal yang dilaksanakan secara tidak seimbang mengakibatkan berlaku perubahan iklim dan pemanasan global sekali gus menuntut usaha gerakan massa bagi melestarikan alam sekitar.

Menyedari perkara itu, Sambutan Hari Landskap Negara peringkat negeri Perak di Laman Budaya, Kuala Kangsar, hari ini memberi penekanan terhadap landskap pokok hutan dan pokok buah-buahan nadir tempatan berbanding pokok hiasan dan bunga seperti kebiasaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Zulqarnain Mohamad berkata, sebagai permulaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbangkan sebanyak 633 pokok daripada spesis terancam seperti merawan siput (Hopea sangal), pokok ara dan merlimau untuk ditanam sekitar Kuala Kangsar sejak Januari lalu.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak melalui gerakan massa diperlukan bagi mencapai sasaran menanam sebanyak 10,000 pokok menjelang Januari tahun hadapan.

“Ianya termasuk dalam agenda ke-17 dalam kerangka Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 seperti digariskan menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dalam menjamin kelestarian alam sekitar.

“(Kerjasama) TNB ini hanya permulaan di mana kita mengharapkan semua pihak tanpa mengira agensi kerajaan, institusi pendidikan mahupun swasta agar sama-sama merealisasikan matlamat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian sambutan itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashilin Mohamed Radzi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 7:24pm
d