mutakhir

Perangkap babi, kera di Lubok Stol

Oleh Syaherah Mustafa

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap bagi menangani masalah serangan kera dan babi di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang sejak dua minggu lalu.

Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, perangkap dipasang dalam tempoh 45 minit di kawasan tumpuan haiwan liar itu pada 10 pagi hari ini.

“Siasatan dan perbincangan dengan penduduk dilakukan sebelum perangkap dipasang di kawasan berkenaan.

“Saya harap dengan pemasangan perangkap ini dapat mengurangkan jumlah serangan haiwan liar ini selain menyelamatkan tanaman penduduk.

“Selain itu, penduduk juga disyorkan menguruskan sistem pembuangan sampah dengan lebih sistematik agar tidak jadi tarikan hidupan liar itu mencari makanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ady Ermanty berkata, kawasan yang bersih secara tidak langsung menjadi sempadan kepada hidupan liar selain penduduk juga dinasihat memasang lampu di kawasan gelap sekitar rumah.

“Bagi mereka yang tinggal berdekatan hutan digalakkan memasang pagar keliling rumah,” katanya yang meminta penduduk supaya melaporkan sebarang kejadian pencerobohan hidupan liar ke talian hotline 1-800-88-5151.

Sebelum itu ketika pertemuan dengan penduduk, wakil Perhilitan sempat melawat mangsa kemalangan apabila motosikal ditunggang dirempuh babi, baru-baru ini.

“Mangsa disaran memohon bantuan daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas,” katanya.

NSTP pada Ahad lalu, melaporkan lebih 1,000 penduduk dari kampung terbabit dalam ketakutan serta bimbang malah beberapa penduduk mengalami kecederaan akibat diserang haiwan itu.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 7:56pm
d