mutakhir

Gigih lima hari lawan api

Oleh Ruwaida Md Zain

KEBAKARAN besar Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Banting, Selangor, berlarutan sejak lima hari lalu dipercayai dilakukan individu yang menceroboh dan melakukan aktiviti penanaman secara haram di situ.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, berdasarkan pemantauan dilakukan, pihaknya mempunyai bukti hasil imej diperolehi menggunakan dron.

"Kita ada gambar-gambar bukti daripada dron, memang ia bermula daripada kawasan diceroboh yang ditanam dengan tanaman seperti lengkuas, halia, keledek, nenas dan pisang. Memang ia dikenal pasti kawasan yang diceroboh.

"Tanaman kontan ini ada tempoh masa, contohnya enam bulan mereka akan petik hasil. Kemudian mereka akan bersihkan dan bakar. Tindakan ini yang akan menyebabkan kebakaran terbuka tanah gambut.

"Pada masa sama, keadaan cuaca yang panas turut menyumbang kepada keadaan kebakaran yang sukar dikawal,” katanya.

Justeru itu, beliau mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap mana-mana penceroboh tanah kerajaan atau tanah rizab hutan simpanan.

"Ini kerana hutan di sini dipenuhi tanaman milik penceroboh, jadi kita akan bangkitkan isu ini kepada kerajaan negeri untuk memastikan penguatkuasaan itu dipertingkatkan bagi mengelakkan setiap tahun berlaku kebakaran sebab ia sudah berlaku tahun lalu," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Bomba (PKB) di lokasi kebakaran hutan itu tadi.

Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri, Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim; Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof, wakil Jabatan Perhutanan Negeri Selangor serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Norazam berkata, hasil siasatan mendapati, kebakaran terbabit semakin merebak.

"Hari ini hari ke lima operasi, bomba berjaya padam kira-kira 48.9 peratus iaitu 23.5 hektar dan ada baki 24.5 hektar. Berdasarkan keadaan semasa, kita anggarkan tempoh pemadaman memakan masa lagi 10 hari," katanya.

"Bagaimanapun, dengan bantuan 'water bombing' dari APMM, ia dapat menghalang berlaku secara aktif.

"Sumber air juga terhad bagi pemadaman di lokasi yang berada di pinggir hutan kerana tiada saliran untuk membekalkan air daripada 'tube well'.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 8:22pm
d