mutakhir

Kedah sedia jadi negeri pembangkang

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN negeri dibarisi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia menjadi negeri pembangkang, sekali gus mahu terus kekal menerajui Kedah sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pimpinan kerajaan negeri gabungan PH dan Bersatu di Kedah masih kukuh selagi tidak ada seorang pun daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.

“Kita masih kukuh sebagai sebuah kerajaan negeri selagi tidak ada seorang pun daripada PH dan Bersatu melompat ke sebelah sana.

“Maka kita mempunyai bilangan majoriti tiga kerusi iaitu 19 ADUN dan seorang Speaker, jadi kita berbeza dengan negeri lain yang sudah tumbang ke Perikatan Nasional.

“Walaupun ada banyak spekulasi pihak tertentu berminat sangat untuk mengambil alih dengan cara bukan pilihan raya, tetapi kita tetap kukuh dan berharap suasana politik kita tenang dan tenteram,” katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, selepas pulang dari ibu negara, malam ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, pihaknya yakin akan dapat meneruskan perancangan diatur untuk Kedah walaupun sedar akan menghadapi kekangan kewangan selepas ini.

Bagaimanapun, beliau bersyukur berikutan Kerajaan Persekutuan terdahulu di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menyalurkan sejumlah peruntukan agak besar untuk Kedah.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ketika ini menunjukkan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (7), Bersatu (6), Parti Amanah Negara (4), Umno (2) dan DAP (2).

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 9:59pm
    d