mutakhir

'Saya masih ahli PKR' - Jailani

Oleh Hassan Omar

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis bertegas masih ahli PKR kerana tidak pernah mengisytiharkan keluar parti walaupun sudah menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan, setakat ini, beliau tidak pernah membuat perisytiharan sama ada melalui lisan atau tulisan keluar parti semata-mata kerana mengecam Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Pengerusi PH Melaka yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

“Perisytiharan dan tanggapan dua perkara berbeza kerana selagi saya tidak isytihar keluar PKR jangan buat tanggapan saya bukan lagi ahli PKR.

“Dari aspek undang-undang, tanggapan tidak boleh mengatasi perisytiharan kerana tanggapan hanya berasaskan pendapat tetapi perisytiharan adalah berpaksi kepada tindakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Halim Bachik semalam, beliau secara peribadi menganggap Muhammad Jailani kononnya sudah keluar parti meskipun bekas EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri itu tidak membuat perisytiharan keluar parti.

Sehubungan itu, Halim mendakwa, Muhammad Jailani perlu menjelaskan RM10 juta kerana melanggar perjanjian menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.

Muhammad Jailani menjelaskan, tidak timbul sama sekali kononnya beliau harus menjelaskan bayaran berkenaan kerana hal beliau meninggalkan PKR tidak pernah berlaku.

Katanya, dakwaan Halim hanyalah tanggapan Halim sedangkan pada hakikatnya, beliau tidak pernah mengisytiharkan sudah keluar parti.

“Saya cuma menyatakan saya tidak yakin lagi dengan kepemimpinan kerajaan PH, terutama di bawah kepemimpinan Adly.

“Terserahlah kepada Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat dan mengambil tindakan atas perkara itu,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Jailani enggan mengulas ketika ditanya kemungkinan beliau menyertai parti dalam PN sama ada Umno atau Bersatu atau PAS berikutan tindakannya menyokong PN.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 9:44am
    d