mutakhir

Ikan laga pun nak seludup?

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) merampas sembilan bungkus plastik berisi ikan hiasan yang diseludup dari Thailand.

Dalam kejadian 7.25 malam semalam, pihak berkuasa menahan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK), dekat Bukit Kayu Hitam.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan, lelaki itu membawa bungkusan plastik dalam bakul motosikal, yang mengandungi ikan laga.

Beliau berkata, kesemua ikan hiasan itu dirampas kerana tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan daripada Jabatan MAQIS.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM400.

“Perbuatan mengimport ikan tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh MAQIS. Ia satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lily berkata, sabit kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, sekali mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam kes ini.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 10:27am
d