mutakhir

PKR Sabah kekal sokong Shafie Apdal

Oleh Rafiqah Dahali

PKR Sabah kekal kukuh di belakang kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Ketuanya, Datuk Christina Liew mengulangi pendirian itu dalam menghadapi tuduhan menyatakan pemimpin parti menimbulkan keraguan tentang kepimpinan Mohd Shafie.

“Tuntutan itu tidak benar. Persoalan mengenai keraguan terhadap kepimpinan Mohd Shafie tidak timbul sama sekali.

“Kami adalah sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin oleh WARISAN dan tetap berdiri di belakang beliau dalam mentadbir negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Christina berkata, PKR Sabah dengan tegas mengikrarkan sokongan terhadap kepimpinan Mohd Shafie demi kepentingan kemajuan dan pembangunan yang lebih besar untuk Sabah.

“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api dan Ahli Parlimen Tawau, saya sepenuhnya menyokong (Mohd) Shafie.

“Beliau (Mohd Shafie) telah membuktikan keberaniannya sejak 21 bulan lalu,” katanya.

Mengulas mengenai desas-desus yang menyatakan beliau ingin berpaling tadah dari parti, Christina yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah menegaskan perkara itu sebagai mengarut.

“Saya memegang pada prinsip saya untuk memberi sokongan, kesetiaan dan integriti yang tidak berbelah-bahagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 12:28pm
    d