mutakhir

'Saya takkan lompat parti'

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

NAIB Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari menyatakan kesetiaannya bersama parti itu dan tidak berhajat menukar haluan termasuk menyertai Perikatan Nasional.

“Saya takkan lompat parti. Saya masih di sini (DAP Perak) dan tidak layak menyertai Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Perak itu, beliau sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, semua ahli politik dalam negara yang mengamalkan demokrasi perlu ada kesediaan itu dan meninggalkan jawatan apabila sudah hilang sokongan.

“Politik bukan sumber pendapatan. Anda boleh menyertai politik selepas anda stabil dan sudah membina kehidupan. (Politik) Ini bukan tempat untuk menjadi kaya,” katanya.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, tidak akan menangisi nasibnya jika disingkirkan daripada kerajaan negeri.

“Saya tidak akan menangis, sebaliknya masih boleh tersenyum. Mengapa saya perlu menangis? Pada hari pertama saya dipilih rakyat dan dilantik menjadi Exco, saya sedar bahawa jawatan ini tiada jaminan dan saya boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

“Kita perlu sedar hakikat berkenaan dan kerana itu saya tidak perlu menangis. Saya percaya rakyat tidak suka melihat pemimpin menangis. Kenapa (menangis)? Adakah kerana kedudukan?” katanya.

Pada Isnin lalu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dilihat menangis ketika mengemas barangan di pejabatnya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 4:17pm
    d