mutakhir

Misteri meter air hilang [METROTV]

Oleh Ahmad Ismail

MISTERI kehilangan meter air yang sering berlaku di beberapa kawasan di Tangkak, Johor terungkai dengan penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan, Mohd Fadhil Minhat berkata, suspek berusia 52 tahun itu ditahan di sebuah kawasan perumahan di Tangkak oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dalam serbuan jam 1.30 pagi, 2 Mac lalu.

Menurutnya, hasil risikan, maklumat orang awam dan laporan diterima dari mangsa, polis menemui 100 meter air yang komponennya sudah dileraikan.

“Kami juga menemui lapan unit masih lengkap belum sempat dileraikan milik konsesi bekalan air Syarikat Air Johor (SAJ),” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di sini, hari ini.

“Kesemua meter air itu disimpan di rumahnya. Selain itu turut ditemui adalah pelbagai peralatan digunakan untuk melakukan kerja jenayah itu iaitu antaranya spanar pelbagai ukuran,” katanya.

Mohd Fadhil berkata, kemahiran suspek membuka meter air milik pelanggan SAJ itu berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kakitangan perbekalan air.

“Tiap unit meter air di luar premis kediaman dan perniagaan itu mampu dilarikan oleh suspek kurang dari tempoh masa lima minit. Suspek menaiki motosikal skuter warna gelap,” katanya.

“Suspek melakukan jenayah itu antara jam 8 malam sehingga 11 malam sejak awal November 2019 lalu. Kami menerima sebanyak 96 laporan polis berhubung perkara ini,” katanya.

Tambah beliau antara mangsa yang membuat laporan adalah mangsa daripada sekitar Taman Alamanda, Taman Pelangi, Taman Melati, Taman Sri Tangkak, Taman Melati selain Jalan Solok, Jalan Sagil juga di Kampung Paya Mas dan Kampung Padang Lerek.

“Tujuannya meleraikan komponen meter air itu adalah bagi membolehkan bahagian tembaga dijual sementara bahagian plastik dijual kepada peniaga barangan lusuh.

“Harga pasaran semasa tembaga adalah RM70 sekilogram. Semua komponen tembaga meter air yang dilarikan ini dianggarkan bernilai RM7,000,” katanya.

Mohd Fadhil berkata suspek turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah.

“Turut ditahan seorang pengusaha barangan lusuh lelaki berusia 58 tahun di sekitar Jasin, Melaka bagi membantu siasatan.

“Suspek warga tempatan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan reman selama lima hari sejak Isnin lalu dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 4:31pm
d