mutakhir

Haniza, Dr Daroyah didesak jelas pendirian

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MAJLIS Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR mendesak Ketua Wanita, Haniza Mohd Talha dan timbalannya, Dr Daroyah Alwi menyatakan pendirian secara jelas mengenai sokongan mereka kepada parti.

Menerusi kenyataan media MPWP hari ini berkata, ia berikutan terdapat beberapa ahli majlis yang dilihat memberi sokongan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

“Satu perjumpaan tergempar dihadiri 14 daripada 25 ahli MPWP diadakan pada pagi tadi. Antara perkara diputuskan adalah tindakan susulan daripada pemecatan Mohamed Azmin dan Zuraida yang terbabit secara langsung dalam ‘Langkah Sheraton’ dan isu lain berkaitan.

“Menjadi persoalan adalah beberapa ahli MPWP masih lagi bersama mereka dan dilihat memberi sokongan kepada mereka yang mengkhianati perjuangan parti serta Pakatan Harapan (PH),” kata kenyataan itu.

Justeru itu, MPWP mendesak Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya dan Daroyah (Adun Sementa) bersama lapan ahli lain menyatakan pendirian mereka secara jelas terhadap sokongan kepada Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lapan ahli lain yang disenaraikan ialah Catherine Jok Uvang, Ginie Lim Siew Lin, Juwairiya Zulkifli, C Kavitha, Nor Ashidah Ibrahim, Nurainie Haziqah Shafi’i, Nurul Hajar Mardhiah dan S Shoba.

“Kami akan menghantar senarai dan bukti kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan lanjut diambil,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan PKR memecat Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin dan Naib Presiden PKR, Zuraida.

Ia didakwa berlaku pengkhianatan terbuka oleh berapa watak yang menjadi dalang utama yang jelas bertentangan dengan pendirian parti dalam perkara kedudukan Perdana Menteri.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 4:33pm
    d