mutakhir

Sinar baharu buat Siti Fatimah

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SUMBANGAN ini ibarat sinar baharu bukan saja kepada diri sendiri, tetapi buat anak-anak yang masih kecil,” kata suri rumah, Siti Fatimah Mat Jali, 35.

Wanita itu yang mempunyai masalah injap jantung bocor menerima sumbangan sebanyak RM13,000 daripada MyFundAction Perak bagi menampung kos pembedahannya.

Siti Fatimah berkata, dia menderita penyakit itu sejak enam tahun lalu dan terpaksa menangguhkan pembedahan kerana kesempitan hidup berikutan suami, Ismail Hamzah, 34, bekerja sebagai pengimpal.

“Jika suami bekerja penuh pendapatannya sekitar RM1,800 tetapi dia hanya memperoleh RM800 sebulan kerana kerap mengambil cuti untuk membawa saya ke hospital.

“Keadaan itu menyebabkan kami buntu untuk menampung kos pembedahan sehingga kadang kala saya mengambil upah mencuci rumah untuk membantu meringankan beban suami.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh buat kerja terlalu berat kerana cepat penat dan bergantung dengan inhaler (alat sedutan),” kata ibu kepada tiga anak berusia empat hingga 10 tahun itu.

Siti Fatimah berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan oleh Orang Besar Jajahan Manjung, Datuk Shaharudin Nazari di Pusat Tahfiz Integrasi An-Nur di Manjung, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Projek Rezeki Ummat, Wan Khadijah Wan Sulung.

Menurutnya, dia akan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, esok untuk mendapatkan dokumen pembedahan yang dijangka dilakukan di sebuah hospital di Pulau Pinang.

“Saya kasihan melihat suami dan memaklumkan sentiasa reda kalau tidak dapat membuat pembedahan ini kerana memikirkan keadaan kewangan keluarga termasuk perbelanjaan sekolah anak.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sumbangan ini kerana sangat membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang menerima bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM400 sebulan.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 5:13pm
d