mutakhir

Gagalkan cubaan seludup sosej, lembu

Oleh Siti Rohana Idris

PERMINTAAN tinggi terhadap sosej keluaran Thailand mendorong penyeludupan produk makanan itu menerusi pangkalan haram di sempadan Sungai Golok.

Terbaharu, sejumlah 50 bungkus sosej pelbagai jenis dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di pangkalan haram Haji Rashid di pinggir Sungai Golok dekat Tumpat.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, PPM merampas sosej itu pada 2 Mac lalu.

Katanya, pasukan berkenaan menemui produk bernilai RM500 itu di dalam bot yang ditinggalkan di pinggir sungai, dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

“Kita percaya sosej itu untuk dijual di pasaran tempatan kerana permintaan tinggi, namun diseludup masuk tanpa tahu status halal produk selain tiada permit sah.

“Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan peka dalam pemilihan makanan ini yang terdedah kepada risiko kesihatan selain tertakluk larangan kerajaan terhadap pengimportan daging babi yang dikhuatiri terdedah African Swine Fever (ASF),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, tiga lembu bernilai RM8,000 yang tiada permit import turut dirampas ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran.

Mohd Azam berkata, rampasan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengesan penyeludupan itu pada 4.30 petang semalam di Kampung Mentua, Tumpat.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 yang boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 5:29pm
d