mutakhir

Anggota polis cedera bergelut penagih

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA anggota polis cedera ketika bergelut dengan seorang lelaki dipercayai penagih dadah di Pekan Jeniang, Sik, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari, seorang anggota polis lebam di pipi kiri, luka di kening kanan dan tapak tangan kanan, manakala rakannya pula sakit di seluruh badan.

Difahamkan, suspek berusia 44 tahun cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis di Kuala Roman sebelum menahannya di tepi jalan Kalai, Sik.

Suspek berada dalam keadaan mencurigakan apabila motosikal Honda EX5 ditungganginya tidak mempunyai nombor pendaftaran depan dan belakang.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, dua anggotanya bertindak mengejar motosikal terbabit dan berjaya menahannya di tepi jalan di Pekan Jeniang.

Beliau berkata, hasil semakan pada enjin motosikal berkenaan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang.

“Sebaik anggota polis memaklumkan motosikal itu mempunyai rekod hilang, lelaki terbabit tiba-tiba bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan, namun suspek berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Razak berkata, hasil pemeriksaan menemui sebuah beg oren berjalur putih mengandungi tiga peket plastik lutsinar serbuk warna kuning disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 2.4 gram dalam poket seluar sebelah kiri suspek.

“Suspek kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 6:31pm
d