mutakhir

Saya tidak sangka....

Oleh Faliqah Alia Radin Mohd

“SAYA tidak sangka menerima anugerah ini kerana ramai lagi pelajar lebih bagus.”

Demikian kata, Noor Fazriza Fazlin Abdul Rahim, 20, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang dalam Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia.

Noor Fazriza antara 50 pelajar yang berjaya menamatkan program berkenaan yang mendapat pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.

Nor Fazriza berasal dari Balakong, Cheras itu berkata, pada mulanya dia disuruh abangnya menyertai program berkenaan kerana hanya mengambil masa pendek iaitu 18 bulan.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia juga tertarik dengan program itu kerana mempunyai ahli keluarga bekerja dalam bidang sama.

“Kakak dan abang saya bekerja dengan McDonald’s dan mereka antara penyebab utama untuk saya ceburi bidang ini.

“Sebab itu saya memang tertarik menyertainya dan berharap untuk bekerja sekali gus menjadi pengurus termuda McDonald’s,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-1 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar serta Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.

Program itu adalah latihan berteras industri selama 18 bulan yang menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan baki 30 peratus membabitkan kelas teori.

Sementara itu, pelajar lain, Noraiza Hamdi, 20, berkata, keluarga menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk menghabiskan program berkenaan.

“Keluarga selalu beri dorongan kepada setiap kali saya apabila melakukan sesuatu. Mereka juga adalah kunci utama dalam kejayaan ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 9:04pm
d