mutakhir

Ajal bersama

Oleh Siti Rohana Idris

DUA individu maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Pasir Pekan, di Tumpat, malam tadi.

Kejadian 9.50 malam itu membabitkan mangsa berusia 28 dan 77 tahun.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ketika kejadian, mangsa yang berusia 28 tahun menunggang motosikal dengan dibonceng warga emas terbabit.

Beliau berkata, mereka dalam perjalanan dari arah Wakaf Bharu menghala ke Kota Bharu.

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan.

“Pembonceng maut di tempat kejadian akibat patah tulang rusuk, paha kiri dan betis kiri serta pendarahan di telinga. Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

“Seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 8:20am
d