mutakhir

ESSCOM tahan 6 PATI, rampas bakakuk

Oleh Abdul Rahemang Taiming

PIHAK berkuasa menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi di sebuah rumah kongsi di Kalabakan, 12.40 tengah malam tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, lelaki berumur antara 20 hingga 38 tahun itu ditahan susulan maklumat awam berkaitan kehadiran PATI di sebuah ladang kelapa sawit.

Menurutnya, mereka dipercayai baru tiba dari Wilayah Timor, Indonesia dan memasuki negara ini secara haram melalui laluan yang tidak diwartakan.

“Hasil soal siasat mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan media tadi.

Hazani berkata, dalam kes berasingan, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki memiliki selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama enam butir peluru hidup yang disembunyikan di kawasan semak di ladang berkenaan.

Katanya, suspek berumur 47 yang bekerja sebagai buruh ladang ditahan sepasukan anggota ESSCOM dengan bantuan pengawal keselamatan ladang berkenaan kira-kira 12.20 tengah malam.

“Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut masing-masing mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

“ESSCOM bersama agensi penguat kuasa yang lain dari semasa ke semasa akan meningkatkan operasi dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 12:18pm
d