mutakhir

Sekolah pun belum habis dah gatal

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TINDAKAN remaja lelaki mengundang rakan perempuannya untuk ke rumah ketika ibu bapanya tiada, mengundang padah apabila dicekup berkhalwat, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi, pasangan itu yang berusia 16 tahun dan masih bersekolah ditahan di kawasan perumahan Anak Bukit, Alor Setar.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, operasi diketuai Penolong Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Fairuz Mohamad bersama sepasukan anggota Pejabat Agama Daerah Kota Setar (PADKS) sejurus menerima maklumat awam.

Katanya, ketika pihaknya mengetuk pintu rumah, remaja lelaki itu keluar dengan hanya memakai seluar pendek tanpa baju.

“Hasil pemeriksaan menemui remaja perempuan berpakaian lengkap di dalam rumah berkenaan dan ketika disoal mereka didapati tiada hubungan mahram.

“Pasangan remaja itu dibawa ke Balai Polis Kota Setar untuk laporan tangkapan sebelum ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi.

Syeikh Radzi berkata, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan daripada keluarga masing-masing.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat, yang sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 2:38pm
d