mutakhir

PDRM kaji impak program kesedaran

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SATU pasukan dalam Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman diarahkan untuk mengkaji impak pelaksanaan program kesedaran kepada masyarakat.

Pengarah JPJKK Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kajian itu dilakukan bermula sejak bulan lalu membabitkan tiga program iaitu ‘Go to The Safety Point’ (GTSP), 1Masjid 1Polis dan Skuad Aman Wanita (Amanita).

“Kajian ini dilakukan bagi mengetahui sejauh mana keberkesanan ketiga-tiga program berkenaan diketahui oleh masyarakat supaya mereka tahu macam mana untuk mendapatkan bantuan awal.

“Ini kerana, kami tidak mahu program dilaksanakan itu sekadar syok sendiri walhal masyarakat boleh mendapatkan bantuan awal.

“Setakat ini, tiga program berkenaan boleh dikatakan berjaya, namun belum dapat diketahui tahapnya kerana kami perlu mendapat maklum balas daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Pengusaha Stesen dan Pelancaran Poster Inisiatif Kesedaran Keselamatan GTSP Petron Malaysia di sebuah hotel di Jalan Pinang di sini, hari ini.

Pada program itu, Zainal Abidin berkata, 700 stesen minyak Petron di seluruh negara terbabit dalam program berkenaan sejak ia dilancarkan pada 2013.

“Program ini adalah kerjasama strategik antara Petron dengan polis dalam menyediakan ‘titik selamat’ kepada orang awam bagi mendapatkan bantuan awal dalam apa saja insiden termasuk kecemasan, kemalangan serta jenayah.

“Polis berterima kasih kepada Petron yang mengambil inisiatif menyediakan tiga jenis poster pencegahan jenayah dan maklumat kepada orang awam mengenai cara mendapatkan maklumat serta bantuan awal diletak di semua stesen minyak kendaliannya di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Korporat Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron Malaysia Lokman Hani berkata, pihaknya merekodkan 52 insiden orang ramai mendapatkan bantuan awal daripada pekerja mahupun pengusaha di 48 stesen minyak Petron seluruh negara bagi tempoh 2017 hingga 2019.

“Pada program hari ini, 48 pengusaha stesen minyak Petron turut diberikan sijil penghargaan di atas bantuan membantu mangsa selain usaha membanteras jenayah.

“Antara bantuan awal yang dihulurkan dalam insiden pernah dilaporkan adalah pertolongan kepada seorang wanita yang menjadi mangsa serangan seksual di Stesen Minyak Lela Road, Sabah dan bantuan mencari ahli keluarga kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditemui di Stesen Minyak Melor, Kelantan,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 4:38pm
d