mutakhir

'Hangus' RM262,700 duit aku...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

USAHAWAN wanita kerugian RM262,700 ditipu sindiket Parcel Scam selepas berkenalan dengan lelaki yang menyamar sebagai warga asing kononnya mahu membeli kondominium mewah di negara ini sebagai pelaburan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa berusia 50-an memaklumkan mengenali lelaki terbabit melalui media sosial sejak penghujung tahun lalu.

“Mangsa memaklumkan dia dihubungi individu menyamar daripada syarikat kurier mengatakan terdapat bungkusan mengandungi dokumen dan sejumlah wang tunai untuknya dari Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, individu terbabit mendakwa dirinya ditahan pihak kastam dan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun diberikan untuk urusan kastam, insurans serta lain-lain bagi mendapatkan bungkusan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa memasukkan wang sebanyak RM262,700 ke dalam akaun diarahkan sebelum menyedari ditipu sindiket itu.

“Usahawan wanita berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang baru-baru ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran oleh mana-mana individu yang hanya dikenali melalui media sosial untuk menerima bungkusan atau parcel,” katanya.

Katanya, orang awam dinasihatkan untuk membuat semakan dengan kastam atau syarikat kurier terlebih dahulu sekiranya dihubungi individu tidak dikenali.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 4:40pm
d