mutakhir

Tak dapat nak lari

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

AKIBAT tidak mampu berlari dengan pantas, seorang pengedar dadah gagal meloloskan diri daripada diberkas dalam serbuan polis di Kampung Buang Sayang, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang, lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun itu dicekup bersama lima peket dadah dipercayai syabu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menjalankan Op Tapis di lokasi terbabit dan mengesan kehadiran lelaki itu di hadapan rumah tidak bernombor.

Menurutnya, lelaki dalam keadaan mencurigakan itu kemudiannya dihampiri Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) untuk diperiksa, namun lelaki itu bertindak melarikan diri.

“Polis berjaya mengejar suspek dan menangkapnya. Pemeriksaan lanjut menemui satu kotak rokok mengandungi lima peket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 5.45 gram.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan ujian air kencing lelaki itu didapati positif dadah, selain memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 4:42pm
d