mutakhir

'Wajah arwah bersih'

Oleh Nurul Amanina Suhaini

“WAJAH arwah bersih, meskipun badannya ada kesan luka,” kata Awi Mat, 72, bapa saudara kepada, Mohammad Nurul Haq Mohamad, 22.

Mohammad Nurul Haq maut bersama tiga rakannya apabila kereta Toyota Avanza dinaiki mereka bertembung dengan trak tunda di Kilometer 14 Jalan Endau-Mersing, Mersing, kira-kira 4 pagi hari ini.

Awi berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak saudaranya itu kira-kira 9 pagi hari ini selepas dihubungi adik iparnya.

Katanya, selepas dimaklumkan berita sedih itu, dia membatalkan hasrat ke tempat kerja dan terus ke Hospital Mersing untuk menziarahi arwah.

“Sebaik tiba di hospital, saya pergi ke bilik mayat dan melihat sendiri mayat arwah, wajahnya bersih.

“Proses bedah siasat belum boleh dijalankan, perlu tunggu kehadiran ahli keluarga membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Awi memaklumkan, arwah bersama rakannya bercuti di Terengganu dan dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang sebelum kemalangan itu berlaku.

“Saya difahamkan, selepas selesai bedah siasat, urusan jenazah memandikan dan mengkafankan jenazah akan dijalankan di sini (Mersing) sebelum dibawa pulang ke Terengganu untuk dikebumikan,” katanya.

Awi yang menetap di Felda Tunggal, Kota Tinggi berkata, kali terakhir dia bertemu anak saudaranya itu pada satu majlis perkahwinan sepupu arwah di Pulau Musang, Terengganu, 22 Februari lalu.

Katanya, arwah yang juga anak bongsu daripada enam beradik mula merantau dari Terengganu ke Johor bersama abang sulungnya untuk mencari rezeki.

“Arwah seorang yang pendiam dan datang dari keluarga baik-baik, sedikit pun tidak pernah tinggal solat.

“Di Johor, hanya saya keluarga terdekatnya kerana adik-beradik menetap di Terengganu,” katanya,

Terdahulu, selain Mohammad Nurul Haq, tiga rakannya yang turut terkorban dalam kemalangan itu ialah Tengku Zahid Tengku Endut, 52, Kamarudin Salim Mualaf, 51, dan Muhammad Shazriq Adam, 20.

  • Empat maut tersepit dalam kereta
  • Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 4:51pm
    d