mutakhir

'Pihak pendakwaan sengaja rosakkan imej saya'

Oleh BERNAMA

PERBALAHAN hangat antara Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Pendakwa Raya berlarutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini apabila bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa pihak pendakwaan sengaja merosakkan imejnya.

Tengku Adnan, 69, ketika prosiding membela diri bagi tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2 juta membidas Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim kerana mendiskriminasi beliau apabila tuduhan terhadap seorang bekas Menteri Kewangan digugurkan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Ini tidak adil Puan Julia, anda mendiskriminasi saya dan cuba merosakkan reputasi saya sejak hari pertama perbicaraan. Anda bercakap dengan media dan memberi kenyataan bercanggah. Ini tidak adil.

“Kenapa anda masih tuduh saya kalau anda boleh menggugurkan tuduhan terhadap bekas Menteri Kewangan sebelum ini. Saya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga perundangan. Saya tahu ke mana anda menuju dengan gaya pernyataan anda,” katanya dengan suara yang tegang dan penuh emosi.

Ahli Parlimen Putrajaya lebih dikenali sebagai Ku Nan dipercayai merujuk kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kes pembelian lot tanah dan banglo ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Semalam, Tengku Adnan, gagal mengawal perasaan di mahkamah selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonannya untuk butiran pengisytiharan asetnya didengar secara tertutup tanpa kehadiran orang awam atau pihak media.

Perbalahan hangat itu berterusan apabila Julia secara sindiran berkata: “Kenapa anda meminta saya untuk menggugurkan tuduhan, anda sepatutnya tanya Peguam Negara (AG).”

Tengku Adnan menjawab, “Betul, kamu tanya bos kamu (AG)...kamu sabar...tidak ada AG sekarang...dah letak jawatan.”

Keadaan tegang itu berlaku apabila Julia meminta Tengku Adnan menjelaskan tuduhannya dalam pernyataan saksinya apabila dia mendakwa bahawa tuduhan terhadapnya tidak relevan.

Bendahari Umno yang memberi keterangan pada hari ketiga prosiding bela diri tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa dia menggunakan wang RM2 juta untuk kegunaan sendiri.

Tengku Adnan menegaskan wang diterima daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong adalah sumbangan politik kepada Umno bagi perbelanjaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Prosiding bersambung 25 Mac ini.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 5:12pm
d