mutakhir

Bukit Aman rakam percakapan bekas Peguam Negara

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS merakam percakapan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali di Bukit Aman hari ini bagi membantu siasatan isu pendedahan klip audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain Mohamad Apandi, polis turut merakam percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Bukit Aman, 24 Februari lalu bagi membantu siasatan kes sama.

Menurutnya, pihaknya juga akan memanggil beberapa lagi individu yang dikaitkan dengan video itu untuk merakam percakapan mereka dalam masa terdekat.

“Selepas melengkapkan kertas siasatan, kita akan serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Apandi berkata, beliau hadir memberi keterangan di Bukit Aman, selama lebih sejam bermula jam 10 pagi tadi.

“Jam 10 pagi hadir dan habis (beri keterangan) termasuk berbual tak rasmi, pada jam 11.50 pagi,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan selama sejam di Bukit Aman, 21 Februari lalu.

SPRM pada 8 Januari lalu mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah, Mohamad Apandi dan Dzulkifli yang dirakam perbualannya sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1 Malaysia Develoment Berhad (1MDB) dan SRC International Berhad.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 5:51pm
d