mutakhir

Tunda takwim Parlimen untuk bentuk Kabinet

Oleh BERNAMA

PENUNDAAN takwim persidangan Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama berkaitan pelantikan barisan menteri dan timbalan menteri yang sedang dimuktamadkan, demikian menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 ditunda dari 9 Mac kepada 18 Mei depan.

JPM dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini menyebut penundaan itu untuk memberikan masa munasabah bagi membolehkan barisan Kabinet memahami tugas kementerian dan jabatan masing-masing.

“Ia membolehkan menteri dilantik bersedia untuk menjawab soalan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT); pertanyaan lisan; perbahasan; pembentangan rang undang-undang dan usul-usul apabila Parlimen bersidang,” menurut JPM.

Katanya, penundaan turut memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan pertanyaan jawab lisan dan bukan lisan serta usul baharu agar relevan dengan isu semasa negara.

Menurut JPM, penyediaan takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 dilaksanakan berdasarkan peraturan majlis mesyuarat berkaitan dan ia turut disahkan teratur Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

“Institusi Parlimen hendaklah dihormati oleh segenap lapisan rakyat termasuk Ahli Parlimen sendiri,” kata JPM.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 5:57pm