mutakhir

Dua buruh maut tertimbus tanah

Oleh BERNAMA

DUA buruh warga Bangladesh maut selepas tertimbus tanah runtuh di sebuah tapak projek perumahan di Mentakab, Temerloh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 4.15 petang ketika kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka sedang melakukan kerja menanam paip saluran pembentungan.

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Md Shoriful, 43, dan Julhas Rahman, 27, berdasarkan maklumat lisan daripada rakan sekerja mereka.

“Kedua-dua mangsa difahamkan berada dalam lubang dianggarkan sedalam enam meter dan terdapat dua jentera di atas yang melakukan kerja mengorek tanah.

“Timbunan tanah di bahagian tepi lubang dikatakan runtuh semasa kerja itu dilakukan dan menimbus mereka,” katanya semasa dihubungi, hari ini.

Mohd Yusri berkata, rakan sekerja mangsa cuba untuk menyelamatkan mereka, namun hanya mampu mengeluarkan seorang daripada mereka berikutan runtuhan tanah yang banyak.

Beliau berkata, pihak bomba berjaya mengeluarkan Md Shoriful pada 4.45 petang manakala mangsa kedua ditemui kira-kira 15 minit kemudian.

Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.

Setakat ini, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 9:45pm
d