mutakhir

Seluar dalam pun nak curi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN tukang cermin berusia 37 tahun mencuri seluar dalam wanita di ampaian rumah mangsa di Bandar Country Homes, Rawang mengundang padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek ditahan di Kota Emerald, Rawang semalam, sejurus laporan dibuat mangsa berusia 30 tahun.

Katanya, wanita itu menyedari seluar dalamnya hilang pada 10 pagi kelmarin, dipercayai dicuri.

“Beberapa bulan lalu, dia menyedari pakaian dalamnya kerap hilang. Dia kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati lelaki berkulit cerah yang tidak dikenali, memakai topi dan mengambil seluar dalamnya.

“Mangsa membuat laporan pada 6.15 petang semalam dan kerugian RM600,” katanya.

Arifai berkata, suspek berjaya ditahan dan siasatan awal mendapati dia tiada rekod jenayah lampau.

Katanya, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 8:38am
d