mutakhir

Ia keputusan saya - Latheefa Koya

Oleh BERNAMA

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya hari ini berkata, peletakan jawatannya bukanlah berpunca daripada sebarang tekanan ke atas beliau.

“Sebaliknya, ia keputusan saya sendiri. Spekulasi bahawa saya diberi tekanan adalah tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Latheefa berkata, surat peletakan jawatan itu dihantar kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin namun ia tertakluk kepada perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Semalam, saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan menjelaskan kepada beliau berhubung keputusan saya untuk meletakkan jawatan. Kami mengadakan perbincangan dengan penuh keikhlasan dan beliau faham kedudukan saya.

“Saya juga telah menjelaskan kepada beliau mengenai langkah yang sedang diambil dan usaha mendapatkan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari luar negara. Beliau amat menyokong usaha itu,” katanya.

Latheefa berkata beliau merancang untuk kembali sebagai penyokong hak asasi manusia.

“Semua berjalan seperti biasa di SPRM di bawah pegawai-pegawai saya yang berkebolehan. Sepanjang minggu ini saya telah bertemu dan memberi taklimat kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki dan juga ketua-ketua jabatan dalam SPRM bagi memastikan penyerahan tugas yang teratur,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, rakan-rakan di SPRM dan rakyat atas segala sokongan terhadapnya semasa beliau menjadi Ketua Pesuruhjaya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Jun 2019, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang memutuskan untuk memendekkan kontrak perkhidmatannya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, Latheefa akan berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selama dua tahun bermula 1 Jun 2019.

Berita berkaitan:

  • Latheefa Koya sah letak jawatan
  • Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 11:26am
    d