mutakhir

Jumpa tikus tersepit di belakang kaunter

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIGA kedai makan di Air Itam, Georgetown diarahkan ditutup selama 14 hari berkuat kuasa hari ini berikutan penemuan makhluk perosak di premis mereka.

Arahan terbabit dikeluarkan selepas pemeriksaan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam operasi hari ini.

Pegawai Kesihatan Persekitarannya M Bawani berkata, pihaknya menjumpai najis tikus di beberapa bahagian di tiga premis berkenaan ketika operasi dijalankan.

“Anggota pemeriksa menjumpai tikus yang tersepit di belakang kaunter bayaran berhampiran peti sejuk di premis kedua.

“Najis tikus pula ditemui di beberapa bahagian ketiga-tiga premis termasuk di tempat penyimpanan barang dan dapur,” katanya dalam sidang media di Georgetown, hari ini.

Mengulas lanjut, Bawani berkata, menerusi operasi berkenaan, sebanyak 13 kompaun berjumlah RM1,910 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, antara kompaun itu membabitkan kesalahan meletakkan halangan di luar premis, pencemaran silang dan pengendali makanan tidak mengambil suntikan anti tifoid.

“Didapati pemilik meletakkan barangan seperti tong gas dan perkakas niaga di luar premis yang menghalang laluan kerana sepatutnya ia diletakkan di bahagian dalam premis.

“Semua premis diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini hingga 19 Mac depan bagi kerja pembersihan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 15 daripada 20 premis diarah tutup dalam lima operasi dijalankan sepanjang Januari sehingga Mac ini.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 32 kompaun atas pelbagai kesalahan membabitkan jumlah keseluruhan RM3,210.

“Operasi ini bukan hanya bagi mendidik pemilik premis supaya menjaga kebersihan, tetapi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya memilih kedai yang bersih,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 4:37pm
d