mutakhir

Peniaga, pengunjung pasar tani bertempiaran lari

Oleh Roselan Ab Malek

PENGUNJUNG dan peniaga pasar tani Paya Luas, Seberang Temerloh bertempiaran lari selepas hujan lebat diikuti ribut melanda kawasan itu petang tadi.

Ribut yang melanda pada 5 petang itu menjejaskan hampir semua perniagaan di pasar tani apabila khemah jualan diterbangkan angin.

Pengunjung, Mohamad Khuzaifah Holid, 29, berkata, kejadian berlaku ketika dia baru sampai di pasar tani berkenaan.

Katanya, hujan lebat secara tiba-tiba dan setengah jam kemudian ribut melanda kawasan itu.

“Ketika hujan lebat saya dan pengunjung lain berlindung di bawah khemah peniaga tetapi apabila ribut melanda, kami bertempiaran lari.

“Ketika ribut, banyak payung dan khemah kecil berterbangan dibawa oleh angin,” katanya.

Peniaga, Mohd Ridhuan Mohd Yatim, 52 berkata, ketika hujan lebat, dia menutup jualan makanan dan kuih-muih dengan plastik sebelum penutup itu diterbangkan angin ribut.

Katanya, kebanyakan peniaga kerugian kerana jualan mereka rosak dan peralatan seperti khemah dan meja rosak.

“Kerangka besi khemah patah dan kanvas turut koyak akibat ribut,” katanya.

Rakannya, Yahya Abdul Aziz, 48, berkata sebahagian besar peniaga tidak dapat meneruskan perniagaan kerana barangan jualan basah dan rosak.

Katanya, mereka bernasib baik kerana tidak ada yang tercedera dalam kejadian itu.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 9:54pm
d