mutakhir

Pelajar lemas di Sungai Sarawak [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

PELAJAR tingkatan 2, yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama dua rakannya di jeti Kampung Bintangor, Kuching, petang semalam, ditemui lemas malam tadi.

Mayat mangsa, Justin Cornelius Philip, 14, ditemui pada 10.47 malam oleh anggota penyelam Pasukan Polis Marin (PPM) berdekatan lokasi terakhir dia dilihat pada 5.30 petang semalam.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.40 petang.

“Operasi itu membabitkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuching dibantu sembilan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Batu Lintang.

“Turut terbabit dalam operasi itu, 13 anggota polis termasuk lapan dari PPM serta lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Kejadian 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph mandi di jeti berkenaan.

Menurut rakan mangsa, Ahmad Rafi Aiman Ahmad Tumizee,14, mereka bertiga pergi ke Tebingan Kuching sebaik balik dari sekolah dan sepakat mandi di jeti Kampung Bintangor selepas makan.

“Justin (mangsa) memberitahu dia pandai berenang lalu kami bersetuju mandi di jeti itu. Kali pertama terjun ke sungai, dia berjaya naik ke jeti semula tetapi pada terjunan kedua, dia terkapai-kapai dan terus dibawa arus,” katanya

Seorang lagi rakannya, Mohd Airul Azwa Muhd Daniel, 13, pula berkata, melihat Justin terkapai-kapai dia cuba menghampirinya, namun dia sendiri hampir lemas.

“Saya berenang balik ke jeti dan ketika itu saya nampak Justin sudah hilang lalu kami menjerit meminta tolong dan beberapa penduduk kampung cuba membantu, namun dia sudah tidak kelihatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 10:54am
d