mutakhir

Perlis mula Hari Sifar Beg Plastik

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

HARI Sabtu diisytiharkan sebagai Hari Sifar Beg Plastik di semua premis jualan seluruh Perlis bermula hari ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata meskipun negeri ini yang terakhir melancarkan kempen berkenaan, pihaknya menyasarkan pada tahun 2022 seluruh negeri ini tidak lagi menggunakan beg plastik.

Beliau berkata, sebagai peringkat permulaan sebanyak 159 kedai yang terdiri daripada lapan kategori premis digazetkan sebagai premis dilarang menyediakan beg plastik kepada pelanggannya pada setiap Sabtu.

“Lapan kategori terbabit adalah pasaraya besar, pasaraya hiper, kedai serbaneka, farmasi, premis makanan segera, premis serbaneka di stesen minyak petrol dan kedai rangkaian.

“Malah untuk setiap program jabatan kerajaan di dalam negeri ini selepas ini, akan dilarang menggunakan pinggan, mangkuk dan cawan sekali guna. Sebaliknya menggunakan cawan, pinggan dan jag seramik atau kaca.

“Walaupun kita tertinggal belakang daripada rakan negeri yang lain, kita nak ‘catch up’ semula. Selepas ini kempen dibuat secara beransur hingga seminggu dalam sebulan tanpa beg plastik, kemudian ubah kepada sebulan dan sampailah Perlis diisytihar sebagai bebas beg plastik,” katanya ketika ditemui di perkarangan luaran Arked Kayangan Square (The Store) hari ini.

Terdahulu Azlan merasmikan Pelancaran Program Hari Sabtu Tanpa Beg Plastik Peringkat Negeri Perlis.

Azlan berkata, sekiranya premis terbabit gagal mematuhi kempen berkenaan, tindakan tegas akan diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Majlis Perbandaran Kangar Perlis (MPK).

“Jika pelanggan berkeras mahu menggunakan beg plastik, mereka perlu membayar 20 sen bagi satu plastik sebagai caj pencemaran dan jika pemilik premis gagal mematuhi peraturan terbabit mereka akan didenda.

“Wang denda itu akan disalurkan ke tabung amanah seliaan MPK, namun setakat ini kita masih perhalusi lagi nilaian denda terbabit dan akan dikemas kinikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 1:16pm
d