mutakhir

Serah nasib 4 ADUN Selangor kepada pimpinan

Oleh Ruwaida Md Zain

NASIB empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor yang mengisytiharkan kekal menyokong Pakatan Harapan (PH) negeri itu akan ditentukan selepas mesyuarat pimpinan PH di peringkat negeri dan Persekutuan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH untuk membincangkan mengenai perkara terbabit.

“Perkara ini saya akan bawa kembali di peringkat pimpinan PH negeri dan merujuk pimpinan PH Pusat sebab kita ada rujukan iaitu Pulau Pinang dan Kedah, sama ada boleh diterima atau tidak formula itu.

“Itu kita serah kepada pimpinan sebab ini bukan soal halal haram tetapi berkaitan kepimpinan negeri,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Ekspo Hasil Suri Selangor (Hassel) Sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Selangor 2020 di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman empat ADUN terbabit yang isytihar kekal menyokong PH di negeri itu beberapa jam selepas Bersatu disingkirkan daripada PH Selangor, Khamis lalu.

Empat ADUN terbabit ialah Sallehudin Amiruddin (Kuang); Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

Pada masa sama, Amirudin turut mengesahkan sudah mengadakan pertemuan dengan empat ADUN berkenaan semalam.

Sementara itu, katanya portfolio Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan yang sebelum ini dipegang oleh Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari juga berjalan seperti biasa tanpa ADUN Selat Klang itu.

“Ia (tugas Rashid sebagai EXCO) akan ditentukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) nanti.

“Setakat ini semua perancangan Tourism Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berlangsung seperti biasa,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan Kerajaan PH Selangor menyingkirkan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu selepas mengambil kira dinamik politik yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Berikutan itu, lima ADUN dari Bersatu kini adalah pembangkang di DUN Selangor.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 2:44pm
d