mutakhir

Ku Li dilantik menteri kanan...?

Oleh Ramli Ibrahim

DESAS-DESUS mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bakal dilantik sebagai menteri kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya spekulasi.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, senarai nama menteri kabinet baharu yang bakal dilantik masih dirahsiakan, setakat ini.

Katanya, perkara itu juga adalah pertimbangan dan keputusan mutlak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memilih pemimpin yang berkelayakan.

“Memang perkara (desas-desus) itu heboh di media sosial terutama Facebook, tetapi UMNO bahagian tidak menerima makluman.

“Apa pun jika benar Ku Li dilantik menteri kanan, kita di UMNO Bahagian Gua Musang akan memberi sokongan penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Masyarakat (Seperdu) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Baharu, Gua Musang, hari ini.

Pada program berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas itu turut menziarahi tiga pesakit kronik di Taman Wangi, Gua Musang untuk menghulur sumbangan.

Mohd Syahbuddin berkata, jika berita perlantikan Ku Li sahih maka ia adalah rahmat kepada rakyat Gua Musang.

“Tetapi, perkara itu kita tidak boleh mendahului daripada kenyataan sebenar yang dikeluarkan Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Lagipun, Ku Li banyak pengalaman dan mampu menerajui mana-mana kementerian berikutan sebelum ini pernah berada dalam kabinet kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Katanya, Tengku Razaleigh juga adalah Ahli Parlimen paling banyak pengalaman kerana tidak pernah kalah pada setiap kali pilihan raya umum (PRU) sejak 1974 dan disayangi rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 4:03pm
    d