mutakhir

Gagal seludup gula

Oleh Melvin Joni

CUBAAN menyeludup 1.5 tan gula pasir gagal apabila kapal yang membawa barang kawalan itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 di jeti persendirian di Sematan malam tadi.

Penahanan kapal itu bersama seorang juragan dan tiga anak kapal warga asing dibuat 10.15 malam.

Kes kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak untuk tindakan lanjut.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Mohd Hanizam Kechek berkata, nilai gula pasir dirampas dianggarkan RM4,446 dan keseluruhan rampasan berjumlah RM35,000.

“Hasil siasatan, suspek tidak memiliki lesen atau kebenaran khas untuk mengendalikan barang kawalan iaitu gula terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya pada kenyataan hari ini.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3 juta, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Mohd Hanizam, KPDNHEP Sarawak sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penyelewengan membabitkan barangan kawalan.

“KPDNHEP Sarawak berterima kasih atas kerjasama Pasukan Polis Marin yang turut berusaha membanteras cubaan penyeludupan seperti ini,” katanya.

KUCHING 7 MAC 2020. Gula yang dirampas dari sebuah kapal di jeti persendirian Sematan.STR/MELVIN JONI

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 4:50pm
d