mutakhir

Usaha mengkucar-kacir PKR merugikan

Oleh Ruwaida Md Zain

WANITA PKR Selangor menggesa mana-mana pihak supaya menghentikan segala usaha untuk mengkucar-kacirkan parti itu.

Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, tindakan itu langsung tidak memberikan keuntungan kepada pihak terbabit.

“Tindakan itu bakal merugikan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini.

Dalam kenyataan itu, Daroyah turut menegaskan pendirian untuk terus komited dan kekal setia memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi bersama PKR.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat berkata, sayap Wanita PKR juga tetap kukuh dan tegas di atas landasan berprinsip selaras dengan kenyataan Ketua Wanita Keadilan, Haniza Talha sebelum ini.

“Kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan selain tidak mencampuri kemelut yang berlaku di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Ayuh anggota PKR di semua peringkat, bulatkan azam, perkukuh tekad dan rapatkan saf serta perkemas muafakat untuk terus bekerja keras memelihara mandat dan amanah rakyat ini,” kata ADUN Sementa itu.

Katanya, cabang Kapar pula akan terus dipimpin untuk setia menyokong, memberi komitmen dan menghormati mandat rakyat.

“Ia akan dilaksanakan melalui dasar dan agenda pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menzahirkan sokongan teguh terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 7:50pm
d