mutakhir

Hang langgar kereta polis...

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIGA motosikal dan tiga kereta termasuk sebuah kenderaan polis antara yang terbabit dalam kemalangan di lampu isyarat simpang lima Jalan Jelutong, Georgetown petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan berlaku pada 4.15 petang.

Menurutnya, ketika kejadian kereta peronda polis berkenaan dari arah Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut ke Jalan Sungai.

“Ketika tiba di simpang terbabit, didapati lampu isyarat sudah bertukar merah lalu kenderaan itu memasang siren serta lampu amaran bagi meminta laluan.

“Selepas didapati kenderaan di dua lorong dari arah Jalan Mad Noor ke Pekan Jelutong sudah memberi laluan, kenderaan polis itu meneruskan perjalanan sebelum sebuah kereta dari lorong ketiga di jalan terbabit tidak berhenti dan melanggar bahagian kiri kereta peronda.

“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-duanya terbabas dan melanggar tiga motosikal yang berhenti di lampu isyarat simpang itu di Jalan Jelutong menghala ke Jalan Perak sebelum melanggar sebuah lagi kereta jenis Myvi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Soffian, perlanggaran itu menyebabkan kenderaan polis berkenaan mengalami kerosakan di bahagian sebelah kiri.

Katanya, dua kereta lain masing-masing mengalami rosak di bahagian belakang dan depan manakala motosikal yang terbabit pula mengalami kerosakan di bahagian depan.

“Anggota polis terbabit tidak mengalami kecederaan manakala dua pemandu kereta dan tiga penunggang motosikal yang mengalami luka dan sakit dada kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati kereta yang melanggar kenderaan polis itu dipandu lelaki berusia 49 tahun dan kesemua mangsa lain yang terbabit berusia antara 27 hingga 56 tahun,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat serta tanpa timbang rasa.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 12:17am
d